Wednesday, July 21, 2010

Bulan 8 Sebelum Ogos



MENGENALI BULAN SYAABAN

Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari air disebabkan kemarau yang berpanjangan.

Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dll juga. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN

1. Menurut Imam Nawawi, hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam. Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.

2. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.

3. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.

ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN

Memperbanyakkan Puasa Sunat

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:
Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:
Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajibkan) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebuah hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud:
Rasulullah S.A.W. telah berpuasa sebahagian besarnya dari bulan Syaaban.
(Riwayat Nasaie).

Melazimi Berzikir dan Berdoa

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.
(Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Doa merupakan otak kepada ibadat.
(Riwayat al-Tirmizi).

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:
Adalah Rasulullah S.A.W. mengingati Allah (berzikir kepada Allah) setiap masa.
(Riwayat Muslim).

Sentiasa Bertaubat dan Beristighfar

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.
(Surah an-Nur: Ayat 31).


Selamat Beribadah